Aku ingin melarikan diri daripada keserabutan ini. Fikiranku sudah tidak tenang lagi di sini. Aku terpaksa menanggung segala penderitaan. Sememangnya penantian itu suatu penyeksaan dan aku kini mengaku kalah. Aku tidak dapat bertahan lagi. Kesabaranmu sudah menipis. Manakala kecekalan hatiku telah hilang dalam kegelapan masa depanku.
![]() |
| Jangan mudah jatuh cinta |
Semua ini angkara insan bernama Shahrul Razi. Aku tidak tahu kenapa hatiku mudah percaya pada lelaki ini. Aku juga tidak menyangka aku boleh jatuh cinta padanya sedangkan selama ini Hisham Syary merupakan insan teristimewa yang sentiasa bertakhta di hatiku. Adakah ini dinamakan takdir? Atau lebih tepat suatu dugaan yang maha berat bagiku. Aku sememangnya tidak berdaya lagi setelah apa yang terjadi pada diriku angkara Shahrul Razi. Dia sememangnya lelaki pengecut yang begitu takut mengakui kesilapan sendiri. Dan disebabkan sikapnya itu, dia lari dari tanggungjawab hasil daripada kesalahannya itu. Maka tinggallah aku seorang wanita yang perjalanan hidupnya sentiasa dirundung malang dan awan kelabu.
Jika hendak diikutkan hati, mahu saja aku menamatkan nyawaku sendiri agar puas hati semua pihak. Agar Shahrul Razi boleh ketawa keriangan kerana berjaya melepaskan diri dari bebanannya itu. Namun sampai mati, aku tidak akan memaafkan segala perbuatannya itu. Akanku tuntut pembelaanku di akhirat demi keadilan yang tidak dapat ditegakkan di dunia ini. Shahrul Razi tidak akan terlepas dan setiap saat nafasnya pasti tidak akan tenteram kerana penganiayaannya terhadapku.
Tak siapa tahu penderitaan batin yang kutanggung. Benar dari segi lahiriah, aku cukup pandai menyembunyikan diri dengan menzahirkan perwatakan yang ceria bagai tiada masalah. Namun sekali-sekala batinku yang terseksa itu terlepas keluar dan wajahku akan menjadi murung serta- merta. Hanya mereka yang sempat menyaksikan perubahan drastik diriku itu dapat mengesyaki ada suatu yang tidak kena pada diriku.
![]() |
| Hati berkecai |
Tapi tidak sekali-kali aku akan menceritakan sebab kemurunganku ini walau didesak dan dirayu. Aku adalah wanita yang cukup pandai menyimpan rahsia sehingga rela membiarkan beban itu memakan hati hingga hancur luluh dan berkecai.
Keluargaku tidak mengetahui apa-apa kerana kebiasaannya aku bersikap mendiamkan diri tentang hal peribadiku. Hanya sekali-sekala kuluahkan isi hatiku secara tidak langsung dan cukup berlapik. Ada juga dalam keterpaksaanku memberikan isyarat pertolongan namun keluargaku tetap tidak dapat mengenalpastinya. Mungkin mereka juga sibuk dengan masalah masing-masing dan sudah tidak mengerti lagi isyarat halus darah dagingnya sendiri. Aku tidak menyalahkan mereka kerana banyak yang mereka tidak tahu tentang diriku. Mereka hanya kenal aku sebagai watak aku di rumah.
Di luar dan di mana sahaja di muka bumi ini yang bukan rumah, perjalanan hidupku sememangnya pilu dan menyedihkan. Luka demi luka menghiris hidupku sehingga aku merasakan usia mudaku hanya berlumuran darah dan penuh kelukaan. Aku bukan lagi muda dan sihat pada pandangan zahir tetapi sudah lelah dengan penderitaan. Nafasku sudah sesak dan nyawaku mungkin berakhir pada bila-bila masa. Hanya doaku ingin mati dalam keimanan dan bukan kerana putus asa.
Aku tidak tahu samada adikku yang tidur sekatil denganku itu tahu bahawa malam-malamku banyak dilalui dengan tangisan? Mungkin tidurnya nyenyak , lena dibuai mimpi sedangkan aku menderita insomnia setiap malam. Air mataku amat mudah mengalir di malam hari tatkala kesepian menguasai ruang waktu. Dan tangisanku adalah tangisan kekecewaanku atas kehidupanku yang tidak menentu. Luka dan dilukai. Belum sempat luka lama menyembuh, luka lain datang silih berganti.
Kadang-kadang tika keluargaku sibuk berbincang hal diri masing-masing, aku memencilkan diri di suatu sudut dan menangis. Aku tiada apa hendak dibincangkan kerana aku merasakan diriku adalah kambing hitam dalam keluarga. Dan jika aku meluahkan walau hanya setitis rahsia hidupku, pasti mereka terkejut dan sukar menerimanya. Aku tetap memilih menjadi insan yang penuh rahsia. Paling malang, tika ahli keluargaku bergelak ketawa, aku menangis dalam diam.
Adakah keluargaku tahu bahawa aku pernah beberapa kali cuba menamatkan nyawaku sendiri? Entah berapa kali pil-pil merbahaya kutelan lantaran desakan penderitaan. Dan ada kalanya sengaja kuminum campuran herba yang berbisa dengan harapan perutku akan pecah dan aku akan mati sahaja! Acapkali juga di malam dingin tika adik dan ibuku sedang nyenyak tidur aku memberanikan diri keluar rumah meredah kepekatan malam dengan harapan ada penjahat menikam aku sehingga mati. Namun Tuhan tetap melepaskan aku dari pelukan maut. Aku terharu kerana Tuhan masih memberiku peluang untuk hidup di bumiNya. Dan rezekiku sememangnya ditakdirkan sedemikian rupa untuk hidup penuh penderitaan.
Namun aku tetap benci dengan apa yang kulalui. Aku sememangnya mempunyai sejarah silam yang panjang dan memedihkan. Aku tidak mahu mengenangkannya tetapi ingatanku tetap kukuh mengingatinya. Aku mahu lupa pada segala kenangan pahit . Aku menjadi lemah kerana igauan-igauan silamku yang menakutkan. Sedari kecil, aku sudah merasai beban tekanan perasaan. Puncanya biarlah aku merahsiakannya. Aku tidak betah lagi melakarkan sejarah hitamku. Diari-diari kehidupanku sudah tertulis sejak azali dan aku tetap perlu menerimanya walaupun pahit.
Adakah penderitaan yang begitu hebat yang kutanggung kini kesan daripada kisah silamku? Mungkin disebabkan sumpahan Along Wijaya yang ingin melihat aku hidup tidak tenteram kerana tindakanku meninggalkannya dahulu. Tapi salahkah aku meninggalkannya setelah dia tergamak memusnahkan masa depanku. Dunianya penuh kegilaan dan aku boleh jadi gila jika terus bersamanya. Kehidupannya amat pelik dan ragam keluarganya juga memelikkan. Kata-kata manisnya tidak dapat membeli cintaku.
![]() |
| Perlu ke percaya dengan lelaki? |
Atau mungkin kerana dendam Abang Zack yang mula membenci semua wanita keranaku? Adakah dia turut mendoakan kehancuran hidupku gara-gara surat putusku sebanyak lapan helai? Putusku kerana terpaksa dan jua kerana masa depanku dan masa depannya. Tetapi jelaslah kini masa depanku tidak sebaik masa depannya yang mungkin kini di ambang kejayaan. Aku mengharapkan dia menerima penjelasanku dan memaafkan diriku.
Bagaimana pula dengan Abang Uda yang kutinggalkan dengan cerita bahawa aku sudah mempunyai teman lelaki yang sedang belajar di negara Matahari terbit. Sememangnya itu adalah cerita benar dan bukan rekaan tetapi temanku itu sudah lama menyepi tanpa berita. Hanya doaku dia akan pulang menemuiku walau tanpa cinta kerana aku sudah bersedia menerima suatu lagi kelukaan.
Nyawaku kini mungkin dipanjangkan dengan sisa-sisa nafas cinta Hisham Syary terhadapku. Aku sedar cintanya tulus padaku dan aku juga begitu menyayanginya dan dia jualah insan pertama yang kucintai. Mungkin akan kekal buat selama-lamanya aku menyintainya walau dalam kejauhan dan penderitaan. Cuma yang aku kesalkan, keluargaku tidak merestuinya dan kerana itu sampai bila pun cinta ini menjadi cinta terlarang. Kuasa cinta nampaknya tewas juga tanpa restu keluarga. Hanya denyutan jantungku masih bernafas kerana sisa-sisa cinta itu masih kuat menyala. Hakikatnya aku tetap perlu menerima kenyataan bahawa aku bukanlah insan bertuah dalam melayari kehidupan dan alam percintaan. Kubertekad untuk melarikan diri dari cengkaman kepahitan. Sehingga kini aku berlari……..
![]() |
| Aku percaya, di sebalik kedukaan itu akan ada sinar mentari kelak |
Karya: Anna Abadi
*Laman web sumber ini telah di tutup kerana ownernya telah meninggal dunia...Al-Fatihah.




No comments:
Post a Comment